Ingat tak cerita yang tergendala tahun lepas tu? Dah 10 bulan cerita tu terperap. Semasa duk mengemas-ngemas gambar2 di dalam komputer ni pagi tadi, terjumpa pulak "folder" peristiwa yang teristimewa tu. Dikala suhu menjunam di luar rumah dengan awan yang mendung yang menjanjikan "flurries", hati ini terasa nyaman bila membelek-belek gambar2 tu, ditambah pulak dengan lagu Dato M Daud Kilau mendayu-dayu perlahan-lahan, tersenyum sorang-sorang. . . .
Direnjis-renjis dipilis
Ditepungilah tawar
Hai beras kunyit ditabur
Disiram si air mawar
Duduk dua sejoli
Atas pelamin berseri
Dihias intan baiduri
Sebagai raja sehari
Pada hari bersejarah itu, rumah kami telah diserikan dengan majlis akad nikah seorang sahabat. Tak pernah terpikir dan tak disangka-sangka yang kami akan menjadi ketua keluarga dan tuan rumah kepada majlis perkahwinan di dalam masa terdekat ni sedangkan anak kami masih kecil, di negara orang pulak tu. Tapi itulah, segalanya ketentuan Ilahi, dah sememangnya jodoh dan perkahwinan itu adalah urusanNya. Kalau di negara orang pun kalau jodohnya dah sampai, terjalin juga hubungan suci ini. Apa yang pasti, dihati ini terasa sangat segalanya urusan Allah SWT, betapa Dia menghendaki majlis ini berjalan walau dengan seadanya tetapi tetap meriah. Perancangan dibuat dalam masa sepuluh hari sahaja, tetapi dengan izin Allah Taala, segala "paperwork" yang diperlukan berjaya diselesaikan dengan lancar disebalik kesibukan DH masyaAllah.
Majlis akad nikah yang sepatutnya dijalankan di masjid dan diikuti dengan kenduri kecil doa selamat, telah menjadi majlis yang penuh rahmat di rumah kami dengan gelak ketawa tetamu, disertai pulak dengan bunga telur dan pelamin "bidang terjun". Sofa rumah yang kusam tu nampak cantik pulak bila dihiasi dengan sarung kusyen dan tabir "bling bling" yang dipinjam dari seorang rakan kerja DH manakala bunga telur tu pula "courtesy" dari Tourism Malaysia :D
|
Pelamin ringkas |
|
Kek yang secara tak dirancang sedondon pula dengan baju pengantin :D |
|
Katil pengantin. . . |
|
Aku nikahkan dikau. . . . (rasanya itulah kut Imam tu cakap hehehe. . .) |
Ia sesungguhnya majlis yang unik kerana pasangan pengantinnya dari Malaysia, dijalankan di Belanda, diakad oleh Imam berketurunan Jawa asalnya dari Surinam, manakala akadnya di dalam bahasa Arab, bacaan takliknya di dalam bahasa Inggeris dan sijil nikahnya pulak di dalam bahasa Belanda, Mashaallah sungguh cantik hitungan Allah Taala.
Tak disangka-sangka, Imam dari Rotterdam ini yang pernah melawat Malaysia pada awal tahun 90 an dulu, terjumpa pulak rakan yang dikunjunginya semasa di Malaysia yang mana dia pernah tinggal selama seminggu di rumah kawannya itu, yang kebetulan menjadi tetamu dan penolong kami di majlis itu, Masyaallah. Maka terjadilah pula adegan berpelukan diantara mereka, adalah juga yang turut mengelap airmata (bukan IA ye. . . )
Betapa cantik aturan Allah Taala (tak perlulah diceritakan kesemuanya ye), segalanya berjalan lancar dan tatkala Imam mengakadkan pasangan, airmataku turut mengalir, syukur Alhamdulillah dan benar-benar terharu kerana semuanya berjalan dengan selamat. IA bukanlah seorang yang sensitif, tak pernah dalam hidup ini menangis di khalayak ramai atau semasa di lapangan terbang ke, tetapi pada hari tu, hati ini benar-benar tersentuh.
Seperti merahmati majlis, cuaca pada awal bulan April itu tersangatlah cantik menjelangnya hari perkahwinan dengan matahari memancar dan suhu naik hingga 20 an celcius. Pada masa yang sama, bunga-bunga tulip di depan dapur juga turut mula mengembang, Mashaallah.
|
Tulip - sedap mata memandang |
Syukur Alhamdulillah kerana Allah Taala telah memberi kami peluang dan ruang untuk membantu pasangan ini mengadakan majlis akad nikah mereka, semuga perkahwinan mereka akan senantiasa dirahmati dan diberkati Allah Taala selalu.